Blogger news

RSS

kisah: perpisahan selamanya

Bila ada pertemuan, pasti ada perpisahan. Pertemuan dan perpisahan adalah sesuatu yang tidak dapat sesiapa pun elakkan, termasuk aku. Dan dalam banyak-banyak perpisahan, ada satu yang paling menyakitkan. Perpisahan yang tidak akan pernah aku lupakan. Dan aku akan merindui detik-detik sebelum perpisahan itu…

15 November 2010.

Beberapa minggu sebelum detik itu…

“ Jangan lupa aku tau!”
“ Aku sayang kau!”
“Rajin-rajin online fb tau!”

Itulah ungkapan yang diucapkan oleh teman-temanku pada hari itu. Walaupun acap kali mendengar ungkapan-ungkapan tersebut, aku tidak pula berasa bosan atau jemu. Mungkin kerana aku juga merasai apa yang mereka rasakan, iaitu sedih kerana kami akan berpisah.

“Dengar sini semua dan semua dengar sini.” Teriakan Filla menarik perhatian semua orang. Lantas semua yang berada di dewan itu menoleh kearah gadis tinggi lampai itu.

“Kita semua akan buat reunion setiap bulan.Oleh itu, sesiapa yang akan berpindah, tolong beritahu kami supaya kami boleh menghantar kad jemputan.” Filla membuat pengunguman di atas pentas.

Semua yang ada di situ hanya mengangguk lantas ‘berdrama’ semula.

Aku juga turut serta dalam ‘drama’ tersebut.Aku memeluk dan bergambar dengan semua rakan-rakanku. Kemudian aku beralih ke Yanti. Kami berpelukan lalu aku mengambil gambar bersamanya. Tiba-tiba Yanti mengeluarkan seseuatu dari kocek bajunya. Aku tidak pasti apakah barang itu kerana Yanti menggenggam barang tersebut. Apa yang aku pasti, barang itu bersaiz kecil.

Tiba-tiba, Yanti memegang tanganku lalu meletakkan barang itu di atas telapak tanganku lalu menutup jari-jemariku. Aku tidak dapat melihat bentuk barang itu.

“Saya sayang barang ini. Tapi saya lebih sayangkan awak. Awak simpanlah barang ini dan jaganya dengan baik. Jangan lupakan saya tau. Saya sayang awak.” Yanti memelukku. Aku membalas pelukannya. Kami berpelukan selama beberapa saat. Yanti seolah-olah tidak mahu melepaskanku.

Tiba-tiba aku rasa bahuku basah. Rupa-rupanya Yanti menangis. Air mataku turut bercucuran kerana terharu.

“Saya tidak akan melupakan awak, Yanti. Jangan risau, ini hanya perpisahan sementara. Kita masih boleh berjumpa di majlis reunion. Filla kata, dia akan mengadakan majlis reunion setiap bulan, InsyaAllah.” Aku memujuk Yanti lalu dia melepaskan pelukannya. Aku mengesat airmatanya. Yanti tersenyum.

Oh, kalaulah aku tahu akan berlakunya detik yang tidak kusangka-sangka, pasti aku tidak akan melepaskan pelukannya.

17 Disember 2010

Suasana di Desa Water Park riuh dengan suara bekas para pelajar SK Sri Andalas yang hadir ke Majlis Reunion yang diatur oleh Filla. Aku dan Ana yang baru tiba segera mengambil tempat duduk yang telah ditetapkan untuk kami. Belum sempat aku melabuhkan punggung, aku diserbu rakan-rakanku.

Masing-masing melepaskan rindu yang terpendam selama sebulan. Walaupun baru sahaja sebulan tidak berjumpa, aku amat rindu akan teman-teman seperjuanganku kerana ikatan ukhwah yang dibina selama 6 tahun sangat kukuh.

Aku mencari-cari kelibat Yanti. Sedang aku mencari, tiba-tiba bahuku dicuit seseorang. Aku menoleh kebelakang. Rupa-rupanya yanti yang mencuitku. Dia tersenyum padaku. Aku membalas senyumannya dengan pelukan.

“Lama tak jumpa. Awak pula jarang online di fb. Rindu betul pada awak.” Aku memulakan perbualan.

“Saya punya laptop rosaklah. Awak, awak masih simpan barang yang saya beri pada awak hari itu?” Aku mengangguk. Barang yang diberi oleh Yanti pada hari terakhir persekolahan itu sebenarnya adalah sebutir mutiara berwarna biru. Mutiara yang berharga mencecah rarusan ringgit itu sentiasa kubawa ke mana sahaja aku pergi.

Aku mengeluarkan mutiara bernilai itu lantas mutiara itu bertukar tangan. Yanti membelek-belek mutiara itu.

“Awak dah makan ke belum?” Tanya Yanti tiba-tiba. Aku menggeleng. Aku langsung tidak dapat menjamah makanan. Dari waktu kutiba sehingga waktu itu, begitu ramai rakan-rakanku yang berjumpa denganku. Aku sendiri terlupa untuk makan.

Lantas Yanti mengajakku makan. Usai mengisi perut, kami membuat keputusan untuk menyertai teman-teman yang lain bermandi-manda di kolam yang disediakan.


Dan, pada saat itulah berlakunya peristiwa yang tidak dapat aku lupakan.


“Ilyana, mari berenang di kolam itu.” Yanti mengajakku. Aku menoleh ke arah kolam yang dimaksudkan.

“Tidak mahulah. Kolam itu terlalu dalam. Saya tidak tahu berenang. Awak pergilah jika awak mahu. Saya mahu berenang di sini sahaja.”balasku.

“Baiklah kalau begitu. Saya ke sana ya. Bye.” Yanti beralih ke kolam itu. Aku meneruskan aktivitiku bersama teman- temanku yang lain. Kami berenang sambil bergurau senda di dalam kolam.

“Mana Yanti?” tiba-tiba Miasarah bertanya.

“Dia berenang di dalam kolam itu.” Aku menunjukkan Miasarah kolam yang kumaksudkan.

“ Pergi tengok dia. Risau pula saya. Bukan ada ramai orang pun yang mandi di kolam itu.” Aku akur dengan arahan Miasarah. Aku naik ke atas lalu berjalan ke arah kolam yang dalam itu.

Aku mencari-cari kelibat Yanti. Tiba-tiba aku ternampak sebatang tubuh sedang keluar daripada kolam itu. Tiba-tiba budak itu tergelincir lalu jatuh semula ke dalam kolam itu.

Aku terkejut. Budak itu tidak timbul-timbul ke permukaan. Aku kaget. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Berenang? Jika untuk berenang suka-suka, itu aku tahu. Untuk menyelamatkan orang, silap hari bulan aku yang lemas. Lantas aku menjerit meminta pertolongan.

“Tolong! Tolong! Ada budak lemas! Tolong!” jeritanku menarik perhatian orang ramai. Salah seorang dari kami yang mahir berenang segera terjun ke dalam kolam.

Kami menunggunya. Beberapa saat berlalu, tidak ada seorang pun yang naik ke permukaan. Kami semua menjadi panik. Tiba- tiba bekas pelajar tadi timbul ke permukaan sambil menarik budak yang lemas itu.

Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati budak yang lemas itu adalah orang yang kucari-cari , Yanti. Yanti dibawa naik ke atas. Pertolongan kecemasan diberikan.

Namun usaha itu hanya sia-sia. Yanti yang menghidap penyakit asma dan paru-paru berair itu meninggal kerana oksigen tidak sampai ke otaknya.

Aku terduduk di sisi mayat Yanti. Air mataku mengalir. Semakin lama semakin deras. Aku memandang wajah pucat Yanti. Yanti seolah-olah tersenyum padaku. Aku menjadi sebak. Aku bangun kerana tidak mampu lagi memandang wajah suci Yanti.

Tiba-tiba mutiara yang diberi Yanti terkeluar daripada kocek seluarku. Aku mengutipnya semula. Lantas otakku memutar kembali memori-memori terakhirku bersama Yanti.

“Saya sayang barang ini. Tapi saya lebih sayangkan awak. Awak simpanlah barang ini dan jaganya dengan baik. Jangan lupakan saya tau. Saya sayang awak.”


Kata-kata arwah Yanti masih terngiang-ngiang di dalam fikiranku. Aku tidak pernah menjangkakan yang kami akan berpisah, berpisah untuk selama-lamanya. Perpisahan yang kekal. Perpisahan yang tidak akan pernah luput dalam ingatan.

Yanti, kaulah sahabat yang terbaik pernah kujumpa sepanjang hidupku. Memori-memori sepnjang perkenalan kita akan kupahat dalam ingatanku. Semoga rohmu ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Saya sayang awak, Yanti.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment