Cerita Khas Sempena Hari Raya Aidiladha
Hari esok pastinya ceria. Suasana di sekitar asrama riuh rendah dengan suara penghuninya yang tidak pulang ke rumah dek jarak yang jauh. Masing-masing gembira kerana esok mereka akan menyambut hari raya aidiladha. Meskipun terpaksa berjauhan dengan keluarga, namun kehadiran rakan-rakan mengubati kerinduan kepada keluarga, menimbulkan bibit-bibit kegembiraan dan keceriaan di dalam hati.
Di kala orang lain sedang sibuk untuk menyambut aidiladha pada esok hari, Salsabila pula hanya duduk di katilnya, termenung ke luar tingkap. Wajahnya langsung tiada bibit- bibit ceria. Ketidak ceriaan Salsabila disedari ahli dormnya yang lain yang sedang sibuk bersembang.
“ Kenapa dengan Bella tu?Dari tadi aku tengok dia termenung sahaja.” Helina bertanya kepada Khairiya. Khairiya dan Marlissa berpandangan. Kemudian mereka tunduk. Pada wajah mereka tergambar kesedihan.
“ Bella rindu …..” Khairiya tidak menyambung percakapannya. Dia teragak-agak untuk menyebut perkataan terakhir.
“ Keluarga dia? Dia rindu keluarga dia?” Diniah menyampuk. Khairiya menggeleng, menambahkan kekeliruan helina dan rakan mereka yang lain yang baru masuk ke sekolah itu tahun ini.
“ Bela rindu Wani…” Marlissa menjawab.
“ Wani? Siapa Wani?” Helina bertanya. Dahinya sudah berkerut seribu kerana keliru dengan apa yang cuba disampaikan Khairiya dan Marlissa.
Khairiya tidak terus menjawab sebaliknya dia bangun, pergi ke ruang bacaan dorm dan mengambil majalah sekolah. Dia membelek-belek seketika majalah itu kemudian menunujukkan kepada Helina gambar seorang gadis.
“ Inilah Wani.Rakan yang paling rapat dengan Bella dulu. Mereka sangat rapat, bagai isi dengan kuku…”
“ Siapa dia ini? Aku tak pernah nampak dia pun. Dia dah pindah ke?” Khairiya memandang wajah Diniah yang bertanya. Kemudian dia tertunduk sayu. Baru sahaja dia ingin membuka mulut untuk bercerita, tiba-tiba Salsabila atau nama gelarannya Bella menyampuk.
“ Biar aku yang cerita.” Dia turun dari katilnya lalu duduk di sebelah Khairiya menghadap Helina.
“ Semuanya berlaku pada malam aidiladha, seperti malam ini….” Salsabila memulakan cerita.
“Semua ahli rumah Waja sedang sibuk menyiapkan juadah untuk hari esok. Raya aidiladaha kali itu,kami tidak dapat pulang ke rumah kerana tidak diberi cuti. Kami menyambut raya di sekolah. Ahli rumah Waja berkumpul di dewan, masing-masing melakukan tugas yang diberikan.
Pelajar tingkatan 3 ditugaskan untuk memasak. Sewaktu memasak kami berbual-bual dengan gembiranya.
“ Bella, esok kau pakai baju warna apa?” Wani bertanya pada aku.
“ Warna hijau!” Aku menjawab.
“ Aku pun nak pakai baju warna hijau jugalah esok. Kita pakai sedondon ya, Bella?” Aku mengangguk.
Sedang kami berbual, tiba-tiba Wani mengaduh kesakitan. Jarinya terpotong.
Darah memancut keluar dengan laju. Kami menjadi panik. Zamir dan Shukri segera mencari exco kesihatan untuk mengambil peti pertolongan kecemasan. Malangnya, peti itu tidak ada pada exco. Ahli BSMM ada meminjamnya namun sehingga ke hari itu peti itu masih belum dipulangkan.
Dengan pantas exco tersebut menelefon warden. Sementara menunggu warden itu sampai, Wani pergi ke tandas, katanya dia ingin membalut lukanya.
Beberapa minit berlalu, warden pun sampai. Wani masih berada di tandas. Warden menyuruh aku memanggilnya. Aku pun segera ke tandas.
Sampai di tandas, aku terkejut apabila melihat Wani terbaring di atas lantai dan darah pula terus mengalir dari jarinya.
Wani dikejarkan ke klinik berhampiran ditemani exco dan Khiriya. Kami menyambung aktiviti kami yang tergendala. Setelah selesai semuanya, kami pulang ke asrama.
Aku masuk ke dalam dorm. Baju hijau yang akan ku pakai keesokan harinya aku keluarkan. Tiba-tiba aku ternampak baju hijau milik Wani tergantung di katilnya. Baju itu sudah siap bergosok. Aku memandang ke arah jam. Sudah jam 11.45 malam namun Wani masih belum pulang. Aku sudah mula berasa risau.
Kerisauanku aku luahkan kepada Marlissa.
“ Lisa, mana Wani? Kenapa dia tak balik lagi. Lamanya dia pergi. Aku risaulah!”
“ Bertenang. Percaya cakap aku, esok, apabila kau buka mata, pasti Wani ada di sisi kau. Semuanya akan okey! Jangan risau. Dah lah, pergi masuk tidur. Dah lewat ni. Exco pun dah jerit-jerit suruh light off.” Marlissa menenangkanku. Dia menarikku ke katil dan memaksaku tidur. Aku akur. Aku memejamkan mata. Marlissa bangun meninggalkanku lalu menutup lampu sebelum dia sendiri terlena.
Malam itu, aku tidak dapat tidur. Aku runsing memikirkan Wani. Apabila aku menoleh ke tei, katil di sebelahku kosong kerana Wani masih belum pulang. Sekitar jam 1.30 barulah aku mampu terlena.
Keesokan harinya, apabila aku membuka mata, katil di sebelahku masih kosong. Aku bangun. Tak mungkin Wani belum pulang. Aku menyedapkan hati dengan mengatakan pada diriku sendiri, mungkin Wani sudah bangun.
Aku bangun lalu mencapai tualaku yang ku sangkut di birai katil. Baru sahaja aku ingin menapak keluar dari dorm, tiba-tiba aku terdengar suara yang kutunggu-tunggu dari tadi.
“ Salsabila….”
Aku menoleh ke belakang. Wani yang memakai baju kurung hijaunya tersenyum ke arahku.
“ Wani!!!!!” Aku meluru ke arahnya lalu memeluknya.
“ Alhamdulillah, kau tak apa-apa. Kenapa kau balik lambat malam tadi? Pukul berapa kau balik? Tangan kau macam mana? Doktor kata apa? Kenapa kau tiba-tiba pengsan?” bertubi-tubi soalan yang aku tanya, namun Wani hanya diam sambil tersenyum memandangku. Aku menjadi hairan.
“ Kau ni dari tadi tersenyum sahaja! Buang tebiatkah?” Aku memarahinya. Dia kekal tersenyum.
“ Janganlah marah…Selamat hari raya, Salsabila, kawan aku yang paling baik di dunia ini. Bella, aku nak kau tahu, aku sayang sangat pada kau. Kalau apa-apa terjadi pada diri aku, kau jangan sedih, ya. Bella, simpankan loket ni untuk aku. Simpan baik-baik tau…” Wani menyerahkan loketnya padaku. Aku mengambil loket itu dengan muka kehairanan.
“ Kenapa kau pelik sangat pagi ini? Fius otak kau dah tercabutkah?”
Wani tergelak kecil mendengar bebelanku. Dia mengambil loket dari tanganku kemudian meletakkan loket itu ke dalam lokerku.
“ Aku letak di sini, ya?”
“ Hmmm…” Aku melihat sekilas loket yang diletakkan Wani didalam lokerku. Tiba-tiba pintu dorm diketuk dari luar. Aku meluru ke pintu lalu membukanya.
Aku terkejut apabila melihat Khairiya menangis. Di sebelah Khairiya, berdiri exco yang menemani Wani ke klinik malam tadi. Wajah mereka yang murung dan sedih berjaya membuatkan jantungku berdegup laju tak keruan.
“ Kenapa ni? Kenapa kau menangis, Khairiya?” Aku bertanya. Esakan Khairiya semakin kuat. Khairiya memelukku.
“ Bella….Wani..Wani dah tak ada! Wani dah pergi tinggalkan kita! Wani dah mati!”
Aku hairan mendengar kata-kata Khairiya. Aku menoleh ke belakang, kea rah dorm. Kelibat Wani sudah tidak ada. Aku benar-benar tidak percaya dengan apa yang aku lihat dan aku alami. Aku memandang exco tersebut, meminta penjelasan darinya.
“ Wani ada satu penyakit. Dia kekurangan sel yang membekukan darah, kerana itulah darah keluar tanpa henti. Kita terlambat bawa dia ke hospital.Dia kehilangan banyak darah. Allah lebih menyayangi Wani. Wani kini sudah kembali ke rahmatullah. Dia meninggal jam 2 pagi tadi.”
Penjelasan exco itu sudah cukup membuatkan hatiku terluka. Aku sudah seperti tiada tenaga. Aku rebah terduduk di ambang pintu. Makin menjadi-jadilah tangisan Khairiya apabila melihat keadaanku.
Exco itu mengeluarkan sesuatu dari dalam kocek bajunya. Loket Wani! Dia menghulurkan loket itu kepadaku.
“ Wani suruh akak bagi pada Bella loket ini. Dia pesan pada Bella, jaga loket itu baik-baik.”
Aku mengambil loket itu. Rasa seperti aku sedang bermimpi. Aku bangun lalu pergi ke lokerku. Loket Wani tiada di situ, namun loket Wani kini ada dalam tanganku.
Tatkala itu barulah aku sedar, Wani benar-benar sudah pergi. Apa yang kulihat tadi hanya sekadar khayalan atau mimpiku sahaja. Hakikatnya, Wani sudah tidak ada.Wani tidak sempat memakai baju yang sedondon denganku sempena hari raya aidiladha kali itu.
Aku sangat merindui dia. Sampai sekarang, masih belum ada orang lagi yang mampu menggantikan tempat Wani. Hanya Wani sahaja kawanku yang paling terbaik di dunia ini. Dia menemani aku tatkala aku susah dan senang dari kami sekolah rendah lagi….
Itulah sebabnya aku akan menjadi murung setiap kali menjelang aidiladha” Salsabila menamatkan ceritanya. Air mata masih mengalir dari matanya. Sudah banyak tisu digunakan untuk mengesat air matanya yang tidak henti-henti keluar sejak dia mula bercerita tadi. Khairiya dan Melissa turut menangis apabila kisah lama itu diungkit kembali.
Salsabila bangun. Dia membuka lokernya lalu mengeluarkan sepasang baju kurung.
“ Aku akan pakai baju ini esok.Baju ini, baju arwah Wani…..”






1 comments:
Querida, você visitou meu blog e eu estou retribuindo. Só não entendi nada, nenhum post. Que lingua é essa? :s Mesmo assim eu vou seguir de volta *-*
Beijos!
www.deboras-paper.blogspot.com
Post a Comment