Blogger news

RSS

Mashaf Cinta

Bangunan Menara Berkembar Petronas yang tersergam indah itu ditatap dengan perasaan gerun oleh Zahara. Nina ketawa melihat riak muka Zahara yang ketakutan.

“ Lawaklah kau ni! Tengok menara tinggi pun kau dah takut.” Nina memerli. Zahara mencebik.

“ Takutlah! Macam mana kalau menara ini runtuh saat ni juga, mesti kita semua dah tidak bernyawa lagi!” Zahara mempertahankan pendiriannya. Sekali lagi Nina tergelak.

“ Aku lagi rela mati dihempap bangunan dari merana duduk di kelas Bestari!” Tiba-tiba mood Nina berubah. Suaranya mula bertukar nada. Zahara yang mengesan perubahan Nina mula berasa tidak sedap hati. Dia tidak mahu Nina sedih memandangkan lawatan pada hari itu seharusnya dinikmati dengan perasaan gembira.

Kelas 4 Bestari adalah kelas yang paling bermasalah jika dibandingkan dengan 4 kelas tingkatan 4 yang lain. Pelajar lelaki dan perempuan sering berkelahi. Pelajar –pelajar yang lemah sering dibuli oleh pelajar yang menganggap dirinya kuat dan berpengaruh.

“ Budak Bestari memang semuanya jahatkah?” Zahara mengajukan soalan yang bermain di benaknya. Nina terdiam seketika.

“ Bukan semua. Ada yang baik. Macam….Ridhwan!.”

Mendengar nama Ridhwan, langkah Zahara terhenti. Acap kali nama itu singgah di telinganya. Namun begitu, dia masih belum dapat mengenali siapa lelaki yang dikatakan bakal Ketua Daie tahun 2013.

“ Kau percaya tak kalau aku kata aku tak kenal siapa Ridhwan?” Zahara mengajukan soalan. Nina memandangnya dengan pandangan pelik.

“ Kau tak kenal dia? Biar betul! Dia itu baik. Di dalam kelas, dia sering membaca al-Quran apabila ada masa lapang.” Terang Nina.

“ Alah….budak kelas aku pun selallu baca al-Quran dalam kelas!” Tingkah Zahara. Nina mencebik.

Namun dalam tingkahnya, dia mula mengagumi lelaki bernama Ridhwan itu.

@@@

Dewan Al-Madinah yang menjadi lokasi majlis khatam Al-Quran mula dipenuhi orang ramai. Zahara, Syahadah dan Shahirah duduk di barisan murid paling hadapan di belakang barisan para guru. Mereka amat teruja untuk mendengar alunan ayat al-Quran yang bakal dibacakan. Paling teruja di kalangan mereka pastinya Shahirah yang tidak sabar-sabar ingin mendengar suara pujaan hatinya, Zarif.

“ Dijemput para Qari untuk naik ke pentas.” Sejurus sahaja pengerusi majlis berkata-kata, dua barisan pelajar naik ke pentas dari arah yang bertentangan. Wajah Shahira berseri-seri apabila matanya telah dapat menangkap kelibat Zarif.

“ Eh, Ridhwan pun masuklah!” Pernyataan Syahadah yang dilontarkan dengan suara separuh berbisik itu berjaya menarik perhatian Zahara.

“ Yang mana satu Ridhwan?” Zahara bertanya. Dia tidak sabar-sabar mahu mengenali Ridhwan yang dikatakan baik dan alim itu.

“ Itu, yang duduk di sebelah Zarif!” Kata Shahira. Zahara mengangkat wajahnya untuk melihat Ridhwan. Malangnya, wajah Shahariman terlindung dek kipas yang diletakkan di hadapan pentas. Zahara mengeluh perlahan.

Majlis Khatam Al-Quran pun dimulakan. Satu per satu peserta mengalunkan suara mereka.

Apabila sampai giliran Ridhwan, Zahara terkedu. Suara itu amat merdu, dan rasanya dia pernah mendengar suara itu sebelum ini.Ya, suara itulah yang sering melaungkan azan dan menjadi imam solat Asar!

Perasaan ingin tahu Zahara makin menebal. Usai majlis, para Qari turun lalu duduk di tempat khas yang disediakan, iaitu di barisan paling hadapan.

Mata Zahara tidak lepas mengiringi Ridhwan yang turun dari pentas sehingga Ridhwan duduk.

Dan tatkala itulah, Zahara dapat melihat dengan jelas wajah Ridhwan.

Wajah itu putih, terserlah kesuciannya. Matanya sentiasa menunduk ke bawah. Dari wajahnya seolah-olah terpancar satu cahaya, yang hanya mata Zahara yang mampu melihatnya.

Zahara menjadi kaku untuk seketika. Dia terpukau dengan kekacakan semula jadi Ridhwan. Hatinya mula terpaut pada lelaki itu.

Ah, adakah ini yang dinamakan cinta pandang pertama? Zahara sudah mula berangan. Tiba-tiba pahanya dicuit Shahira. Zahara tersentak.

“ Kau tidak mahu balikkah?Lekaslah!”

Zahara meraup mukanya. Jauhnya dia berangan! Zahara bingkas bangun lalu meninggalkan dewan bersama-sama dengan hati yang sudah diulit rasa suka.

@@@

Zahara melangkah masuk ke dalam kelas. Ya, ini adalah hari pertama dia belajar untuk tahun ini.

Pada tahun ini, dia tidak lagi bersama rakan-rakannya yang dulu belajar dengannya di kelas 5 Cerdik. Hanya dia seorang sahaja pelajar perempuan 4 Cerdik yang ‘tercampak’ ke kelas 5 Amanah itu. Rakan-rakannya yang lain semua masih kekal di 5 Cerdik.

Zahara mencari tempat kosong untuk pelajar perempuan. Ada satu di sebelah Zaidani. Zahara mengatur langkah ke tempat itu.

“ Boleh saya duduk di sini?” Zahara bertanya kepada Zaidani yang sedang khusyuk menulis sesuatu. Mendengar soalan Zahara, dia hanya mengangguk lalu tersenyum. Zahara membalas semula senyuman Zaidani lalu meletakkan begnya di atas kerusi.

Belum sempat Zahara melabuhkan punggungnya, tiba-tiba kedengaran satu suara yang amat dikenali bertanya soalan.

“ Ada orang yang sudah menduduki tempat inikah?”

Zahara menoleh. Ridhwan! Hati Zahara tiba-tiba menjadi tenang melihat wajah Ridhwan. Perlahan-lahan Zahara menggelengkan kepalanya.

“ Terima kasih!” Ridhwan tersenyum. Zahara terpaku melihat senyuman Ridhwan. Dia merenung wajah Ridhwan.Ridhwan mula berasa tidak selesa lalu menundukkan wajahnya.

Zahara tersedar dari ‘pukauan’ Ridhwan. Dia pula yang menundukkan wajahnya.

“Err…maaf.”

“ Oh, tidak mengapa.” Ridhwan segera duduk. Zahara juga duduk. Dia tidak mahu tergoda lagi, bimbang tumpuannya akan terjejas.

Zahara mengeluarkan mashaf Qurannya yang berwarna ungu. Memang niatnya ingin membaca mashaf itu satu muka surat sebelum PMP bermula.Tanpa Zahara sedari, Ridhwan juga melakukan benda yang sama. Dia turut mengeluarkan al-Qurannya yang berwarna biru lalu membacanya.Namun Ridhwan juga tidak sedar yang Zahara melakukan benda yang sama dilakukan olehnya!

@@@

Zahara masuk ke dalam kelas. Hatinya resah kerana malam tadi dan subuh pagi tadi dia tidak dapat membaca al-Quran kerana al-Qurannya hilang. Dia sudah mencari di dalam loker tapi tidak berjumpa. Sudah merata tempat dia cari namun mashaf kesayangannya itu masih belum dijumpai.

Zahara melangkah ke tempat duduknya dengan harapan mashafnya ada di dalam laci meja.

Zahara duduk. Dia menenangkan dirinya dahulu. Perlahan-lahan dia melihat ke dalam laci mejanya. Kosong.

Kelopak mata Zahara mula digenangi air.

“ Mana al-Quran aku? Macam mana boleh hilang! Macam mana aku nak baca al-Quran lepas ini? Nak beli yang baru, kena tunggu duit biasiswa baru boleh beli. Pinjam? Tapi daripada siapa? Aduhai!” Zahara merintih di dalam hati. Dia mula menangis.

“ Kenapa awak menangis?”

Zahara mengangkat wajahnya. Ridhwan sedang duduk di hadapannya sambil merenungnya dengan pandangan simpati.

“ Quran saya hilang….”

“ Awak dah cari betul-betul?”

Zahara mengangguk.

“ Satu sekolah saya dah cari, tapi tak berjumpa juga. Di asrama juga saya sudah cari.” Zahara memberitahu. Ridhwan terdiam seketika. Kelihatannya dia sedang memikirkan sesuatu.

“ Mungkin ada orang pinjam?” Ridhwan melontarkan pandangannya.

“ Saya tidak pernah beri pinjam mashaf itu kepada orang lain kecuali jika digunakan di hadapan saya…”

Sekali lagi Ridhwan terdiam. Kemudian dia memusingkan semula badannya ke hadapan.

“Mesti dia dah jemu nak layan aku..” Zahara bermonolog di dalam hati.

Namun sangkaannya jauh meleset sama sekali. Ridhwan memusingkan semula badannya ke belakang dengan mashafnya di tangan. Mashaf itu kemudiannya diletakkan di hadapan Zahara.

“ Awak ambillah Quran ini. Saya tidak mahu hobi awak membaca al-Quran lenyap begitu sahaja hanya kerana Quran awak hilang.” Pernyataan Ridhwan membuatkan Zahara terkedu.

“ Awak? Awak nak guna Quran siapa?” Zahara bertanya.

“ Nanti saya beli yang lain. Tak susah pun kerana Abang Zarif ada menjual al-Quran.” Ridhwan memberitahu. Namun jawapan itu masih belum dapat meyakinkan hati Zahara.

“ Awak ada duitkah?”

Ridhwan tersenyum mendengar soalan Zahara.

“Ada. Lagipun Abang Zarif jual dengan harga yang murah.” Terang Ridhwan. Barulah hati Zahara yakin untuk menggunakan mashaf Ridhwan. Dia mencapai Quran itu lalu mendekatkan Quran itu dengannya.

“Lagipun…” Ridhwan bersuara.Oh, belum habis lagi rupanya! Zahara menghentikan pergerakannya untuk memberi tumpuan pada apa yang ingin diperkatakan Ridhwan.

“ Saya suka tengok awak baca Quran… Nampak tenang…Tak hairanlah kawan-kawan awak kata awak bakal Exco Daie tahun hadapan. Awak layak. Setiap kali dengar awak baca Quran, hati saya pun tenang juga dan saya makin bersemangat untuk baca Quran.”

Pujian-pujian Ridhwan membuatkan muka Zahara memerah. Dia tunduk merenung lantai. Bibirnya terkatup rapat kerana tidak tahu apa yang patut diperkatakan. Dia berasa amat malu.

“ Awak okey?” Ridhwan bertanya apabila melihat Zahara mendiamkan diri.

“ Err…saya okey, saya okey..Erm..Shukron!” Zahara mengucapkan terima kasih. Namun wajahnya masih menunduk ke bawah. Malunya masih menebal. Aduh! Siapa yang tidak kembang dipuji oleh orang yang diminati?

Ridhwan menghadiahkan sebuah senyuman sebelum berpaling semula ke hadapan. Zahara merenung mashaf yang diberi Ridhwan. Mashaf yang akan disimpan, sampai bila- bila….

@@@

Zahara melihat jam tangannya. Masih ada 7 jam lagi untuk kapal terbang yang dinaiki Zahara akan mendarat ke Malaysia. Zahara yang sedang belajar di Universiti Jordan itu terpaksa bergegas pulang ke Malaysia setelah mendapat panggilan telefon dari ibunya.

“ Zahara, ada orang melamar Zahara… Mak harap Za akan balik untuk majlis pertunangan nanti. Zahara sedang cuti kan? “

“ Mak terimakah lamaran lelaki itu?”

“ Belum lagi. Mak nak Zahara yang tentukan sendiri. Tapi mak harap sangat Zahara tak tolak lamaran kali ini. Dia kata dia kenal sangat dengan Zahara.”

Kenal? Siapa ya lelaki yang dia rapat? Rasanya tidak ada. Perbualan dengan ibunya beberapa hari yang lepas menyebabkan hati Zahara sentiasa tidak keruan.Dia sering tertanya-tanya siapa lelaki yang melamarnya itu.

Zahara tiba-tiba teringat akan Ridhwan. Bagaimana dengan lelaki itu ya? Di mana dia belajar? Sudah berumah tangga atau belum?

Zahara mengeluarkan mashaf biru pemberian Ridhwan itu. Mashaf itu ditenungnya dengan perasaan sayu.

“ Ridhwan…saya hampir bertemu dengan jodoh saya…Saya janji akan belajar mencintai pasangan saya itu, walaupun hati saya masih tidak mampu melupakan awak… Ridhwan… Di mana awak? Mengapa bukan awak yangdatang melamar saya? Shah, saya masih tidak mampu melupakan awak…”

Zahara bermonolog di dalam hati. Air matanya tumpah. Dia amat merindui Ridhwan. Meskipun sudah 7 tahun terpisah, dia masih tidak dapat melupakan lelaki itu. Itu adalah sebab utama mengapa dia sering menolak lamaran setiap lelaki yang datang meminangnya.

Namun kali ini, entah mengapa hatinya luntur untuk menerima lamaran lelaki yang sedang menunggunya di tanah air sedangkan dia langsung tidak mengenali lelaki itu, malahan namanya juga tidak diberitahu ibunya. Mungkin dia sudah berputus asa menunggu Ridhwan yang sudah lama dinanti.

Zahara membuka al-Quran biru itu lantas menyambung bacaannya yang sebelum ini tertangguh. Hatinya merintih pada Maha Cinta, agar memberikan dia suami sebaik Ridhwan…

@@@

Zahara menilik buku-buku yang terdapat di rak buku tersebut. Dia ingin mencari buku La Tahzan. Sudah lama buku itu ingin dicari, namun masa sering mengekangnya untuk ke kedai buku. Sepatutnya hari ini dia tidak patut berada di situ, sepatutnya di rumah, menyiapkan apa yang patut untuk pernikahannya esok.

Ah, dia masih belum mampu membuang Ridhwan dari hatinya. Hatinya masih kebal untuk lelaki lain. Malah nama tunangnya juga tidak diketahui. Kad undangan kahwinnya tak pernah dilihat. Semua urusan perkahwinannya diuruskan oleh pihak lelaki.

Malas Zahara mahu memikirkan tentang esok. Dia datang ke kedai buku itu untuk mencari buku La Tahzan, bukan untuk memikirkan apa yang akan terjadi esok.

Satu persatu buku-buku itu ditatapnya.Akhirnya, dia berjumpa pun buku itu. Namun, baru sahaja dia ingin mengambil buku itu, satu tangan telah mencapainya dahulu. Zahara terkejut lalu menoleh ke arah insan yang ‘mencuri’ ‘bukunya’ itu.

Eh, wajah pemuda itu seperti dikenali…Siapa ya? Ridhwan! Zahara terpaku. Dia tak sangka dia akan berjumpa lelaki itu di situ. Wajah Ridhwan tidak banyak berubah, hanya nampak lebih matang dari 7 tahun dahulu.

Ridhwan juga terkejut melihat Zahara.

“ Zahara?”

“ Ridhwan?”

“ Tak sangka boleh terjumpa di sini. Lama kita tak berjumpa. Awak apa khabar?” Ridhwan berbasa-basi.

“ Khabar saya tak beberapa baik….” Zahara menunduk.

“ Kenapa?”

“ entahlah…. Esok, saya akan bernikah, dengan lelaki yang saya langsung tidak tahu namanya!” Zahara meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Wajahnya diangkat bagi ,melihat reaksi Ridhwan. Dahi Ridhwan berkerut, reaksi yang sudah Zahara duga.

“ Apa maksud awak? Awak dipaksa nikahkah?”

“ Saya tak dipaksa, saya yang menerima lamaran dia dengan kerelaan saya sendiri kerana saya sudah penat menunggu……..” Zahara tehenti. Dia tidak sanggup mengucapkan kata-kata yang terakhir. Tidak mungkin dia akan mengaku pada Ridhwan yang dia sudah lama menunggu Ridhwan.

“ Menunggu siapa?” Ridhwan bertanya. Zahara tertunduk.

“ Ah, lupakanlah! Jemputlah datang ke majlis walimah yang diadakan lusa di rumah saya. Awak tahukan rumah saya?”

Ridhwan mengangguk. Barulah Zahara perasan, wajah Ridhwan sudah mula mendung. Cemburukah lelaki itu? Ah, tak mungkin Ridhwan cemburu. Ridhwan tidak pernah menaruh perasaan padanya, dan Zahara sedar selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan.

“ Erm…awak masih simpankah al-Quran yang saya berikan pada awak dahulu?” Tiba- tiba Ridhwan bertanya. Zahara mengangguk lalu mengeluarkan al-Quran itu dari tas tangannya. Al-Quran itu memamng sentiasa di bawa ke mana-mana.

Ridhwan mengambil mashaf quran itu.

“ Maaf jika saya buruk siku. Saya ingin mengambil al-Quran ini semula, boleh?”

Zahara mengangguk. Lebih baik al-Quran itu tidak ada padanya, kerana jika mashaf al-Quran itu tetap ada padanya pasti sukar untuk dia melupakan Ridhwan. Biarlah empunya mashaf al-Quran itu mengambil miliknya semula.

“Okeylah, saya balik dahulu. Adik saya sudah menungggu di luar. Awak ambilllah buku ini. InsyaAllah kita akan berjumpa lagi. Assalamualaikum.” Ridhwan menyerahkan buku La Tahzan itu kepada Zahara dan berlalu pergi meninggalkan Zahara yang terpinga-pinga melihat reaksi Ridhwan.

@@@

Zahara turun dari kereta sambil diapit Ulya dan Zeha. Mereka masuk ke dalam masjid lalu duduk di bahagian solat wanita. Badan Zahara bergetar hebat. Wjahnya memucat. Ulya dan Zeha berusaha menangkannya.

“ Eh, cantiknya hiasan mas kahwin dari pihak lelaki!” Zeha menjerit kecil apabila melihat hantaran dari pihak lelaki.

“ Pergilah tengok, Za..” Ulya memujuk. Zahara menurut. Dia bangun mengikut Zeha melihat mas kahwin itu.

Tiba-tiba mata Zahara menangkap objek yang sering ada bersamanya antara banyak-banyak mas kahwin itu. Sebuah mashaf al-Quran biru, mirip al-Quran Ridhwan.

“ Adakah Ridhwan…..ah! tak mungkinlah!Mungkin kebetulan sahaja. Pandai bakal suaminya mengambil hatinya. Pasti segala maklumat tentang dirinya telah diketahui lelaki misteri itu.

Zahara kembali duduk disebelah Ulya. Beberapa minit selepas itu, majlis akad nikah dilangsungkan. Zahara menutup telinganya apabila akad dilafazkan. Dia tidak sanggup mendengar nama lelaki itu disebut, atau namanya disebut lelaki itu. Ulya hanya menggeleng melihat gelagat rakannya itu.

Tibalah upacara membatalkan air wudhuk. Tabir dibuka. Lelaki yang sudah sah menjadi suami Zahara mendekati Zahara.Zahara hanya tunduk. Ulya disebelahnya mencuit Zahara.

“ Zahara…Lihatlah wajah suami kau!” Ulya berbisik. Zahara akur dengan arahan Ulya. Perlahan-lahan Zahara mengangkat wajahnya.

“Ridhwan?!”

Di hadapan Zahara, Ridhwan memakai baju melayu putih, sedang menghulurkan tangan bagi disalami Zahara, yang kini sudah sah menjadi isterinya.

Zahara terpaku. Jadi, mashaf al- Quran biru itu adalah milik Ridhwan?

“ Tak sudikah salam abang?” Ridhwan bersuara.

Zahara memegang tangan Ridhwan lalu menciumnya. Ridhwan menarik dagu Zahar lalu mencium dahi Zahara. Air mata Zahara mengalir deras. Subhanallah! Sungguh hebat aturan takdir Allah! Dia menyesal kerana menentang takdirNya. Hatinya mengucapkan hamdallah dan istighfar berulang kali.

Dia amat tidak menyangka Ridhwanlah yang melamarnya. Dia tidak sepatutnya menebalkan hati daripada mengetahui siapa calon suaminya dahulu. Dia menyesal kerana menyalahkan takdir yang sebenarnya berpihak kepadanya.

Sesunggguhnya Allah telah memberikan suami yang paling terbaik untuk dirinya. Lelaki yang mampu membimbingnya untuk mencintai Maha Cinta. Lelaki yang memang sudah lama ditunggu-tunggu.

Hari itu merupakan hari yang paling bahagia buat Zahara. Mashaf al-Quran yang diberi Ridhwan menjadi simbolik cinta mereka. Itulah mashaf cinta yang tidak akan Zahara buang; akan disimpan sehingga bila-bila.


Tamat?dah kot....tp, ats pndgn n nsht bbrpe pmbce, insyaAllah Liy akn kembangkn critenye, mcm Liy wat crite liku-liku cinta nurul nurina yg Liy dh delete ue...so, jgn lpskn pluang bce siri2nye ye!


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment